Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

19 January 2011

Landasan Baru Kereta Api Pantai Timur

Kajian bina landasan baru kereta api Pantai Timur siap Mac

KUANTAN 19 Jan. – Kajian mengenai pembinaan landasan baru kereta api dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri Pantai Timur dijangka siap pada Mac ini.
 
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kajian mengenai laluan Lembah Klang-Mentakab-Kuantan-Kuala Terengganu-Tumpat itu, yang dijalankan oleh sebuah syarikat perunding sejak Disember 2009 dan sepatutnya siap setahun kemudian, dilanjutkan sehingga Mac tahun ini memandangkan terdapat beberapa aspek yang masih perlu dikaji semula dengan lebih teliti termasuk aspek ekonomi dan kewangan.

"Saya berharap kajian itu akan memberi gambaran satu projek infrastruktur laluan Pantai Timur dapat diwujudkan pada masa depan, dan sekiranya ini dapat dilaksanakan, ia akan memberi keuntungan bukan saja kepada Pantai Timur malah keuntungan jangka panjang kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Kuantan di sini.

Abdul Rahim berkata, laluan itu wajar dilaksanakan memandangkan ekonomi di kawasan Pantai Timur sangat aktif, sekali gus menjadi faktor pemangkin kemajuan Wilayah Ekonomi Pantai Timur. – Bernama

02 December 2010

KERAJAAN BERUSAHA KURANGKAN JURANG DEFISIT PADA BAJET 2011

KUANTAN 30 Nov. - Kerajaan negeri berusaha mengurangkan jurang defisit pada Bajet 2011 dengan melakukan perbelanjaan berhemah dan kutipan hasil yang efektif.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, berdasarkan prestasi sebelum ini kerajaan berjaya mengurangkan nilai anggaran defisit malah berlaku lebihan.

Beliau berkata, sebagai contoh, bajet 2005 dianggarkan mengalami defisit lebih RM20 juta, sebaliknya berlaku lebihan berjumlah RM72.7 juta.

"Sejak saya memegang jawatan sebagai Menteri Besar pada 1999, kerajaan negeri mengalami bajet defisit hanya dua kali, sementara enam kali berlaku lebihan dan tiga kali mengalami bajet yang seimbang.

"Bagaimanapun, sejak 1963 hingga kini, Pahang telah mengalami bajet lebihan sebanyak 25 kali, 19 kali defisit dan tiga kali seimbang," katanya ketika menggulung Bajet 2011 kerajaan negeri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.

Terdahulu, Adnan membentangkan bajet defisit bagi tahun 2011 berkurangan kepada RM68.2 juta berbanding tahun ini iaitu sebanyak RM92.48 juta.

Tambah Adnan, pada masa kini, Pahang mempunyai hasil cukup terhad walaupun merupakan sebuah negeri yang terbesar di semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, beliau turut menyelar kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri akan menjadi bankrap jika berterusan membentangkan bajet defisit.

"Bila sebut defisit kita kena faham bahawa kerajaan membela rakyat, hasil yang diperolehi kita akan agihkan kembali untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat," jelasnya. (Sumber : Utusan Malaysia)